May 30, 2013

isu-isu di kepala

BismilLahirRahmanirRahim

AlhamdulilLah, dapat juga siapkan post ini lepas lama tangguhkan sebab tak tahu macam mana nak tulis. Isu ini kalau nak bincang, kena selesaikan dulu asas fardhu ain seperti aqidah jelas (aqidah ahlusunnah wal jamaah dan bukannya syiah dll yang sesat), fiqh ibadah (fiqh solat, wudhu' etc)

Pertama: isu adab, akhlaq
RasululLah diutus salah satunya untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan baginda sendiri berakhlaq dengan sebaik-baik, semulia dan seindah akhlaq yang dapat dicapai manusia. Para sahabat hasil tarbiyah baginda adalah generasi terbaik dari segi akhlaq dan adabnya.

Isu adab dan akhlaq ini tidak akan selesai selagi seseorang itu tidak berguru dengan guru yang beradab, berakhlaq dan menjaga adab ikhtilaf sebagaimana para sahabat berguru dan ditarbiyah langsung oleh baginda Nabi sallalLahu 'alaihi wa sallam.
Kalam ulama', pilihlah guru yang berakhlaq. Jika guru berakhlaq maka tidak ada peribahasa "guru kencing berdiri, pelajar kencing berlari". Akhlaq guru mempengaruhi akhlaq murid. Guru bukan sahaja bertindak sebagai muallim, sebaliknya secara sedar atau tidak, dia juga merupakan muaddib, muzakkir, syeikh.

Isu adab dan akhlaq ini tidak juga akan selesai tanpa ilmu yang benar yang didapat dari berguru dengan guru yang benar ilmunya
Isu ini tidak juga dapat selesai melainkan kita faham mengenai tasawwur Islam, apa yang wajib dan apa yang mustahab dll. Setelah memahami tasawwur Islam maka menjadi lebih mudah untuk kita memposisikan diri sebagai pelajar, sebagai makhluq, sebagai da'i dan bukan sebagai hakim atau qadhi yang menghukum manusia lainnya secara tidak beradab dan berakhlaq.
Dengan ilmu dan kefahaman yang benar, maka insyaAllah terhasil fikrah yang jelas dan murni. Fikrah Islam yang jelas dan murni ini memandu kita ke arah mencapai kehendak atau maksud penciptaan kita. Fikrah jelas ini tahu, faham dan jelas mengenai peranannya.

Peranan ilmu menjadi sebab kita faham, kefahaman menjadi sebab kita jelas fikrah dan fikrah jelas menjadi sebab terhasilnya amal2 yang benar dan diterima di sisi Allah kerana merasakan dan ada pandangan jelas mengapa perlu ittiba', ikhlas dll dan bukan sekadar hanya melihat teks tanpa memahami, merasai dan mengimani teks menurut konteks yang benar.

Jagalah adab terhadap kalam Allah dan kalam nabi sallalLahu 'alaihi wa sallam
Allah azza wa jalla berfirman, "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. " (al-Isra': 36-37)

Nabi sallalLahu 'alaihi wa sallam bersabda, "barang siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka hendaklah ia mempersiapkan tempat duduknya dari neraka" - darjat hadis ini mutawatir


Kedua: isu asolah dan istilah
Isu asolah penting untuk dinilai. Terkadang kerana hilangnya asolah maka terjadi masalah antara umat Islam. Terkadang bukan juga kerana hilang asolah namun kerana kerancuan dan tidak jelas kefahaman mengenai maqasid syariah dan ilmu syariat, sirah dan sejarah maka pemimpin dilihat atau pendokong melihat (atau sebaliknya) sebagai golongan yang tidak lagi berada di jalan yang asal (tidak asolah), tidak di atas jalan yang soleh seperti mana dahulu sedangkan mungkin kita yang tidak faham maqasid syariah dan kaidah fiqh dalam hal tersebut. Bahkan mungkin sahaja kita kekurangan ilmu lainnya.

Yang jadi timbul masalah juga kerana adanya perbezaan kefahaman terhadap sesuatu bidang ilmu dan perbezaan teks dan konteks juga perbezaan makna dan maksud istilah atau perkataan yang digunakan. Mungkin sahaja kefahaman terhadap maqasid sama, namun kerana keduanya dari dua aliran berbeza maka timbul salah faham kerana tidak cuba saling memahami antara satu dengan yang lain terkait bidang yang didalami atau maksud perkataan masing-masing. Contoh muda, sunat menurut kefahaman yang belajar hadis adalah sunnah namun menurut yang belajar fiqh sunat itu bukan sunnah sebaliknya mustahab. Makna sunnah menurut kefahaman ilmu hadis tidaklah sama dengan makna sunah menurut kacamata ahli fiqh. Bahkan dalam bahasa Arab pun boleh timbul perbezaan. Pernah dengan penjelasan yang mana us Hairul menjelaskan beza makna "mufrad" menurut ilmu nahu dan mantiq. Padahal keduanya sekadar perkataan Arab, bukan istilah syara', maka apatah lagi istilah syara' yang diguna khusus menurut ahli bidang masing! Terlebih perlu kepada pendefinisian dan kefahaman dan makna yang sama antara yang berbeza pandangan.

Begitu juga isu perbezaan istilah dan kefahaman serta kaedah mengikuti para imam dll perbezaan istilah, kefahaman dan kaedah yg dipelajari (kaedah dalam hadis, kaedah fiqh, kaedah usul fiqh) antara siswa jurusan hadis dengan jurusan usul fiqh.


Ketiga: isu ikhtilaf
Sebelum bahas lanjut, kita perlu akui perbezaan pasti akan ada. Imam Hasan al-Banna menyebutkan antara beberapa sebab timbulnya perbezaan pandangan adalah kerana faktor pengetahuan, ilmu, kemampuan menelaah ilmu dll. Juga, di zaman rasululLah sallalLahu 'alaihi wa sallam sendiri pun ada perbezaan pandangan antara sahabat radhialLahu 'anhum ajma'in tapi rasululLah sallalLahu 'alaihi wa sallam tidak mencela bahkan meraikan perbezaan tersebut. Para tabiin juga menyatakan bahwa adanya khilaf adalah suatu rahmat buat ummat ini kerana dapat meringankan beban mereka dalam hal melaksanakan agama asalkan jangan sampai terlalu mempermudah hingga jadi seolah mempermainkan agama.

Isu ikhtilaf boleh dilihat dari dua sudut yaitu menyeragamkan atau mentoleransikan antara pandangan2 dan juga menjaga diri agar tidak berlebihan dalam isu khilaf

Sudut pertama memerlukan kepada usaha bersungguh-sungguh dan berterusan para ulama' dalam mengkaji, menghurai dan menjelaskan perbezaan antara setiap aliran baik aliran tauhid (asy'airah maturidiyah dan wahabiyah), atau aliran mazhab (satu mazhab atau talfiq atau tak bermazhab), atau aliran tasauf atau manhaj dakwah (manhaj ikhwan muslimin dan jemaat islam atau salafi atau tabligh dll) atau manhaj pendidikan (moden atau tradisional dll). Di setiap satu aliran ini ada yang berbeza kerana kefahaman yang berbeza2 terhadap sumber syariat. Tanpa dinafikan semuanya mahu bekerja untuk Islam, maka mengapa tidak mereka ini bersama dalam perbezaan untuk bekerjasama demi menegakkan syiar Islam? Bukankah bersatu itu kewajipan jika antara kita punya niat sama untuk Islam? Atau kerana masih ada kepentingan dll maka kewajipan itu dilanggar kerana melihat ia seolah tidak perlu?

Jika suatu perbezaan itu telah para ulama terdahulu bahaskan dan diamkan (saling menghormati perbezaan pandangan) maka mengapa kita di zaman ini perlu terus celarukan fikiran dengan perkara sepele sebegini hingga tergendala kerja2 besar umat ini? Adakah perkara khilaifyah perlu terus dimainkan atas nama masalih mursalah, sadd zara'ie dll? Ini juga merupakan permasalahan melibatkan kefahaman terhadap dalil, istilah dan seumpamanya.

Sudut kedua, sebelum dilanjutkan kena faham terlebih dahulu apa itu tsawabit dan apa itu mutaghayyirat kerana setiap bidang atau juzu' atau aspek Islam ini ada yang bersifat tsabit dan ada yang bersifat taghyir. Contohnya dalam persoalan siyasah ada yang tetap tak boleh berubah dan ada yang boleh berubah. Setelah difahami hal itu maka baru kita tahu dalam hal apa yang perlu kita persoalkan dan selanjutnya bagaimana kaedahnya. Setiap perkara yang tetap dan wajib ada maka itu mesti ditegakkan secara bersama tanpa khilaf, namun kaedahnya mungkin sahaja berbeza. Dan sekali lagi, permasalah khilaf tidak boleh membawa kepada perpecahan kerana bersatu itu wajib, sedangkan perkara khilaf itu bukan kewajipan tapi pilihan.


Setelah tiga perkara di atas di fahami dan jelas maka baru boleh dibincang perkara2 lain yang terlihat umpama perbezaan dan penting untuk diurus dan dikelola corak pemikiran seperti isu politik, isu perkara khilafiyah semasa, dll isu. Namun pastinya dengan berterusan menjaga adab sebagai pelajar, bukan naik level jadi guru hanya kerana kita dah habis belajar universiti. Dah dapat degree, master atau Phd bukan tiket untuk kita menjadi hakim menghukumi dan merendahkan orang lain. Hormatilah para a-immah terdahulu selayaknya tanpa memperkecil dan memandang enteng tugas dan sumbangan mereka dahulu, sebaliknya ambillah pengajaran penting dari keilmuan, ketokohan dan adab serta akhlaq mereka. Tidak akan berkesudahan jika seorang yang jahil berlagak faqih, seorang muqallid berlagak mujtahid dan seumpamanya. Jahil berlagak faqih mungkin kerana dia tidak tahu bahwa dia tidak tahu yang mana itu membawa konotasi jahil murakkab dan seorang muqallid berlagak mujtahid mungkin membawa gambaran masalah hatinya yang ego dan perasan serba tahu? Ini bukan tuduhan, sekadar ayat buat muhasabah dan refleksi diri.


Salah silapku sila betulkan
walLahu a'lam